Maksud firman Allah s.w.t:
"Dan sesungguhnya kamu (Nabi Muhammad s.a.w) benar-benar di atas budi pekerti yang agung". (Surah al-qalam : 4)
Begitulah pengiktirafan yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada Nabi
junjungan yang mulia. Maka seharusnya, kita mencedok pengajaran daripada
sejarah hidup baginda serta mempratikkan akhlak yang baik. Ini
bersesuaian dengan maksud firman Allah s.w.t.
"Sesungguhnya di dalam diri Rasulullah s.a.w. contoh yang terbaik bagi
sesiapa yang mengharapkan Allah dan hari akhirat". (Surah al-ahzab : 21)
Ini dikuatkan lagi dengan pengakuan Saydatina Aisyah r.a. ketika
menjelaskan tentang sifat baginda Rasulullah s.a.w yang sinonim dengan
Al-quran.
Terdapat banyak kemuliaan budi pekerti yang dipaparkan oleh baginda dan
di antaranya ialah: Memelihara hubungan sesama manusia melalui interaksi
yang baik. Ini dapat dilakukan semudah dengan menebar senyuman,
menghulur salam dan mengucapkan kata-kata yang baik. Lanjutan daripada
itu, kita juga diajak untuk meringankan beban orang yang menderita,
memberi makan orang yang kelaparan, menziarah orang yang sakit, menolong
orang yang dizalimi dan membantu orang yang ditimpa musibah.
Perbuatan baik akan menghasilkan ketenangan jiwa terutama pada
pelakunya. Kebaikan ibarat wangian yang tidak hanya memberi kesan yang
mengharum bagi pemakainya, bahkan juga orang di sekeliling.
Di samping manfaat emosi dan sosial, Rasulullah s.a.w juga menjanjikan ganjaran, yang dinyatakan melalui maksud sebuah hadith:
"Tidakkah pernah aku memberitahu kamu siapa yang dekat tempat duduknya
denganku pada hari qiamat nanti? Mereka ialah yang paling baik akhlak
dan prilakunya".
Oleh itu, marilah sama-sama kita merebut peluang ini agar menjadi umat
baginda saw yang sentiasa menghias diri dengan akhlak terpuji.
Ingatlah bahawa naluri gemar berbuat baik merupakan nikmat Allah s.w.t.
Ia juga dianggap sebagai suatu bentuk penyebaran nilai-nilai mulia yang
menggambarkan risalah Rasulullah s.a.w.
Semoga Allah s.w.t memberi kita kemudahan untuk konsisten dalam kebaikan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)




0 comments:
Post a Comment